Masa

Sunday, July 10, 2011

Pertembungan Iman dan Materialisme-Surah Al Kahfi

Firman Allah:
"Dan tetaplah memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman." (surah adz-dzariyat ayat 55)

surah al-Kahfi merupakan surah yang digalakkan kepada kita untuk membaca dan menghafaznya. Hal ini kerana surah ini boleh memelihara daripada fitnah dajjal.
"sesiapa yang membaca surah al-kahfi sebagaimana surah itu diturunkan, kemudian dajjal keluar, tidaklah dapat dajjal itu menguasainya dan tidak ada jalan untuknya menguasai orang itu." (riwayat al-hakim)

Terdapat 4 kisah yang terdapat dalam surah ini. Jika kita teliti dengan sebaik mungkin, kita akan mendapati bahawa surah-surah ini membawa maksud yang sama, iaitu 'Antara Iman dan Kebendaan' atau pun ‘Antara Kudrat Allah yang Mentadbirkan Alam Raya ini Dengan Tabii Ataupun sebab musabab.'

Cerita pertama dalam surah ini menceritakan tentang ashabul kahfi (rasanya semua org maklum tentang cerita ini) dan rasanya tidak perlu untuk saya bercerita kembali mengenai kisah ini...
Penulis (Abul Hasan Ali An-Nadwi) mengaitkan kisah ini dengan keadaan kaum muslimin Mekah yang menghadapi situasi yang sama dengan kisah pemuda ini. Bilangan yang sikit, diancam dengan pelbagai ancaman hanya kerana menjadikan Islam sebagai anutan. Namun, Allah tetap memberikan kemenangan kepada kaum muslimin yang sedikit. Pertolongan Allah hanya kepada sesiapa yang dikehendakinya. Keadaan kaum muslimin Mekah dan ashabul kahfi turut mempunyai persamaan dari segi masa. Ashabul kahfi bersembunyi di gua sehinggalah kesesatan yang ada pada waktu itu berubah dan agama yang menjadi anutan dijulang tinggi. Di Mekah, kaum muslimin turut mengalami situasi yang sama sehinggalah mereka dibenarkan untuk berhijrah dan Islam terus dijulang.
Dalam kisah ini, kita akan dapat melihat bahawa wujudnya segolongan yang memberontak kerana alasan yang kukuh-pemberontak yang beriman. Dakwah islamiah yang wujud di dalam hati mereka tidak mudah dikaburi dengan duniawi meskipun harganya adalah diri, nyawa dan darah mereka.Pemberontak ini berpandukan keimanan dan ketaqwaan mereka dan pertentangan berakhir dengan keimanan mengatasi pemikiran kebendaan. Orang yang diperangi akhirnya menjadi wira dan menegakkan kalimah Allah di muka bumi.

Kisah ke 2 pula mengenai pemilik dua kebun.Interesting story actually. Ia mengisahkan mengenai seorang lelaki yang mengecap kebahagiaan. Ia mendapat kesenangan dan kemewahan. Ia memiliki dua kebun anggur yang merupakan buah yang baik dan disukai ramai. Di celah-celah dua buah kebun itu pula dipenuhi dengan tanaman-tanaman yang subur, juga menjadi kegemaran orang ramai. Semua ini adalah punca kebahagiaan dan menjadi perkara yang amat diingini dalam hdup yang sederhana ini. Lelaki ini telah diwarnai dengan keimanan terhadap kebendaan. Pendidikan yang baik dan pengetahuan yang benar tidak akan dapat mengingatkannya.

Ia bersikap sombong dan bongkak kepada kawannya. Ia tidak mahu berkongsi kebahagiaan yang dikecapi lalu ia berkata dengan lantang dan tanpa sedar;
"Aku lebih banyak harta darimu dan lebih berpengaruh dengan pengikutku yang ramai." ayat 34.
Ia memasuki pusat kesenangan dan kemewahan yang juga merupakan pusat pengaruh dan kekuasaannya dengan keadaan jahil. Ia jahil tentang dirinya, kekuasaan Allah, sebab-sebab ghaib dan iradah Allah yang memelihara tujuh petala langit. Ia juga percaya bahawa orang yang mendapat kebaikan, mengecap nikmat, tidak akan dirundung malang, tidak akan ditimpa kesusahan dan sebaliknya pula sentiasa berada di puncak kebahagiaan walau di mana jua berada (ayat 35-36)

Apa yang jelas dalam kisah ini ialah bahawa dia (pemilik dua buah kebun) ini mensyirikkan Allah dengan sebab musabab, yang mana ia yakin benar bahawa sebab musabablah yang menentukan dan memberikan kesan pada sesuatu. Ia percaya kerana sebab musabab jugalah ia berjaya mendapat kelebihan, kesenangan, harta warisan dan keuntungan dari harta bendanya. Ia semata-mata bergantung dengan sebab musabab tadi dan melupakan Allah. Ia tidak percaya bahawa sesuatu kesan itu datangnya daripada Allah dan Allah yang mentadbirkannya.

Kisah ke3 dalam surah al-kahfi ini adalah mengenai Nabi Musa a.s dengan Khaidir. Kisah ini pula mengenai tindakan-tindakan ganjil yang dilakukan oleh Khaidir ketika bersama dengan nabi Musa. iaitu menebuk sampan yang mereka naiki, membunuh seorang kanak-kanak dan membetulkan dinding yang hampir roboh walaupun mereka tidak diberikan layanan yang baik ketika berada di kampung tersebut. Setiap yang dilakukan oleh Khaidir mempunyai sebab yang tertentu dan tanpa diduga. Ia memberikan pengajaran bahawa kita selalu membuat keputusan berdasarkan apa yang kita lihat dan rasai dengan pancaindera tanpa berfikir jauh lebih dari itu. Semua keputusan yang dibuat oleh Khaidir hanya diperhatikan oleh Musa a.s. Namun, sebenarnya, tindakan Khaidir menampakkan kebijaksanaannya. Tindakannya menebuk sampan adalah untuk mengelakkan sampan tersebut dirampas oleh pemerintah kerana polisi pemerintah ketika itu akan merampas sampan yang masih baik dan sempurna. Tindakan kedua-membunuh kanak-kanak; sebenarnya Khaidir melakukan yang terbaik kerana anak itu akan membesar dan akan memfitnah kedua orang tuanya. Jadi ia berpendapat lebih baik menangis sesaat sebelum menangis seumur hidup. Tindakan ketiga dilakukan oleh Khaidir adalah kerana dinding yang hampir runtuh itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim dari ibu bapa yang salih. Di bawah dinding itu, terdapat harta benda warisan untuk mereka berdua. Jika dinding itu roboh, harta benda mereka mesti akan diambil oleh pencuri serta perompak.

Dari kisah ke3 ini, jelaslah bahawa ilmu manusia amat terhad dan ia tidak pernah sampai ke puncak yang terakhir (surah yusuf ayat 76).segala yang dilakukan oleh Khaidir adalah kena pada tempatnya bukannya baik dibalas jahat, jahat dibalas baik. Segala tindakan yang dilakukan oleh Khaidir adalah betul dan baik.
kalaulah seorang itu dapat menyingkap reality hidup yang sebenarnya, rahsia-rahsia dan kesudahan sesuatu perkara itu, maka sudah tentulah berlaku perubahan yang jelas dalam keputusan yang diberikan. ia tentu membatalkan keputusan yang sudah dibuat. Jadi tentunya manusia tidak menaruh kepercayaan lagi pada keputusan, hukuman, kecenderungan dan tabiatnya sendiri. Manusia tidak mengetahui sepenuhnya mengenai alam yang luas ini. Jadi ia tidak boleh membuat keputusan terburu-buru. Ia juga tidak boleh menurut fikiran sendiri sahaja dengan mengenepikan fikiran orang lain. Kehidupan ini amatlah rumit dan kusut manakala alam ini pula terbentang luas. Kerap benar berlaku perbezaan antara perkara zahir dan batin, dan awal dengan akhir.

Kisah ke4 dalam surah ini adalah mengenai kisah Zul-Qarnain.Kisah seorang lelaki yang terhimpun di dalam dirinya keimanan, kebaikan dan kekuatan yang luar biasa. Ia juga dapat menguasai semua jenis kekuatan dan keupayaan yang ada pada seseorang insan serta boleh menggunakan semua saluran dan perkakas yang ada pada zamannya. Lelaki ini telah menggunakan semua kuasa yang ada untuk menentang taghut, perosak dan orang-orang yang menakluki negeri secara zalim. Ia menggunakan segala kuasa tersbut untuk kebajikan manusia, berkhidmat kepada insan dan membangunkan sebuah kota yang baik. Ikitibar yag kita dapat dari kisah ke 4 ini ialah beliau seorang raja yang salih dan melakukan kebaikan. Zul-Qarnain juga merupakan rahmat kepada satu kaum yang selalu diganggu oleh orang-orang nomad yang dikenali sebagai Ya'juj dan Makjuj. Zul-Qarnain datang ke kampung tersebut dan membantu mereka membina tembok yang boleh menghalang orang-orang nomad ini daripada terus mengganggu kehidupan mereka. Zul-Qarnain hanya meminta supaya penduduk yang ada di situ membantunya dengan tenaga buruh bukannya dengan mengenakan bayaran atau cukai yang tinggi (surah al kahfi ayat 95-96).
walaupun zul-Qarnain dapat membantu kaum tersebut namun beliau tidak menganggap bahawa dia adalah seorang yang hebat. Sebaliknya ia menyerahkan segala kelebihan tersebut kepada Allah. Meskipun ia berada di kemuncak kegemilangan dan kekuasaan, namun ia tetap tunduk kepada Sang Pencipta. Ia tidak mudah dikaburi dengan harta yang menjadi perhiasan duniawi.Ia juga menggunakan nikmat tersebut untuk mengeluarkan manusia dari kesesatan dan mengabdikan diri kepada Allah S.W.T.

sebenarnya terlalu banyak iktibar yang kita boleh ambil di dalam surah ini.Jangan sesekali menggadaikan akidah islam semata-mata kerana dikaburi dengan harta duniawi. Walau apapun yang terjadi, tetaplah di dalam perjuangan Islam walaupun perjalanannya pahit dan berliku kerana syurga itu manis dan indah.

semoga ada iktibarnya untuk semua..minta maaf kalau ada bahasa atau ayat yang kurang difahami/tak sampai maksud..
untuk rujukan yang lebih lanjut-tafsir surah al-kahfi fan buku tulisan Abul Hasan Ali An-Nadwi-pertentangan iman dengan materialisme.
semoga kita terus ditetapkan hati terhadap keimanan kepada Allah melebihi segala-galanya...

No comments:

Salam Nisa'

Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani..

Alhamdulillah, puja segala puji hanya untukNya. Yang memiliki seluruh alam ini. Selawat serta salam buat junjungan besar kita, manusia agung kekasih Allah, para sahabat dan keluarga baginda saw, serta seluruh tentera Allah di muka bumiNya yang Maha Luas ini.


Seiring hembusan bayu yang tiada henti bertasbih memuji keagunganNya, maka Nisa' Sabah muncul menyahut seruan dakwah dalam satu lagi siri metode perjuangan. Mencuba sesuatu.. Mencari ruang.. Mengisi kekosongan.. Andai di situ adanya Islam, pasti gerak tidak terhenti.

Semoga siri pertemuan selepas ini memberi makna mendalam.. Membawa erti hakiki..

-Salam Manis Seuntai Kasih Dari Nisa' Negeri Di Bawah Bayu-