Masa

Tuesday, July 12, 2011

Eksploitasi wanita

Bismillah irrahman irrahim..
Assalamualaikum WBT..

Ada apa dengan wanita? Kenapa wanita selalu sahaja dijadikan 'pelaris' kepada sesuatu barangan atau produk? Formulanya mudah, semua orang akan tertarik kepada sesuatu yang cantik dan indah, dan wanita mempunyai pakej itu, apatah lagi jika wanita itu mempunyai pakej tambahan iaitu seksi dan seksa!

Iklan shampo, iklan kereta, iklan makanan, iklan kasut dan bermacam-macam iklan lagi, seakan-akan tidak sempurna tanpa ada wanita sebagai 'watak utama'. Jika menyentuh lagi tentang iklan kecantikan-pelangsingan badan, sudah semestinya wanita perlu menjadi pelakon utama dalam iklan itu. Sedangkan iklan kurma pun ada wanita yang jika difikirkan logik, bukan hanya wanita yang makan kurma!

Di sisi Islam, martabat wanita tidak serendah itu, dan tidak semurah itu untuk dipamerkan. Allah SWT mengangkat martabat wanita ketika zaman jahiliyyah lagi sehinggakan satu surah dalam al Quran diberikan nama an-Nisa yang bermaksud wanita.Terlalu banyak ayat al quran dan hadis Rasulullah SAW yang menyarankan supaya wanita itu dijaga dan menjaga kehormatan dirinya dari dicemari. Contohnya hadis Rasulullah SAW menyebut tentang adab berpakaian " sesungguhnya sebilangan ahli neraka adalah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan mencium bau syurga".

Mengenai aurat wanita pula, Rasulullah menjelaskan kepada Asma Abu Bakar "wahai Asma, sesungguhnya apabila seseorang wanita itu telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan tangan dan wajahnya". Sudah jelas dan bersuluh bahawa larangan untuk menjaga aurat ini adalah untuk menjaga kehormatan diri seseorang wanita itu, seperti cantiknya mutiara yang kekal tersimpan rapi di tempatnya, berbanding dengan mutiara yang tidak dijaga dengan baik, akan rendah nilainya dan akan mudah tercalar.

Larangan Allah jelas dalam al quran, larangan Rasulullah juga sangat jelas seperti yang diriwayatkan, namun mengapa masih lagi perkara ini berlaku?Eksploitasi wanita makin menjadi-jadi dan ada juga yang mencop wanita sebagai objek seks! Barat menganggap wanita perlu ditinggikan martabatnya, dan ini merupakan salah satu cara yang paling cepat dan berkesan untuk turut mempengaruhi orang lain. Sistem kapitalis yang diamalkan telah menjadikan ekspolitasi wanita ini HALAL. Jadi, tidak hairanlah jika situasi ini dapat diterima umum kerana ia seakan-akan sudah menjadi kebiasaan, walhal hal ini perlu ditentang sehabis-habisnya.

Kembali kepada Islam adalah jalan yang terbaik untuk menghindari perkara ini dari terus merebak dan membarah. Pengiklanan dan penyiaran di televisyen mungkin perlu ditapis oleh pihak berkuasa. Bantahan perlu dibuat jika ada yang melampaui batas. Suara pengguna sebenarnya lebih berkuasa daripada pengeluar kerana tidak akan pasaran tanpa permintaan.

Harapan saya sangat besar agar semua pihak sedar akan hal ini. Islam tidak menghalang kecantikan namun biarlah ia berpada-pada dan masih berada dalam syariat yang betul.

Salam Nisa'

Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani..

Alhamdulillah, puja segala puji hanya untukNya. Yang memiliki seluruh alam ini. Selawat serta salam buat junjungan besar kita, manusia agung kekasih Allah, para sahabat dan keluarga baginda saw, serta seluruh tentera Allah di muka bumiNya yang Maha Luas ini.


Seiring hembusan bayu yang tiada henti bertasbih memuji keagunganNya, maka Nisa' Sabah muncul menyahut seruan dakwah dalam satu lagi siri metode perjuangan. Mencuba sesuatu.. Mencari ruang.. Mengisi kekosongan.. Andai di situ adanya Islam, pasti gerak tidak terhenti.

Semoga siri pertemuan selepas ini memberi makna mendalam.. Membawa erti hakiki..

-Salam Manis Seuntai Kasih Dari Nisa' Negeri Di Bawah Bayu-