Masa

Monday, August 22, 2011

Ziarah Amal Nisa' Sandakan Ke HDOK

Salam Ramadhan Kareem kepada semua sahabat Nisa' walau di mana pun berada. Apa khabar ramadhan ini? Harap sahabat-sahabat semua masih mempunyai momentum yang kuat untuk meneruskan bulan Ramadhan ini yang hanya bersisa lebih kurang 8 hari lagi. Mudah-mudahan kita berjumpa dengan malam lailatulqadar, iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Sekadar perkongsian dengan sahabat semua pada 21 Ogos 2O11 bersamaan dengan 21 Ramadhan 1423H, iaitu pada hari Ahad yang lalu, Nisa' Sandakan telah mengadakan program Ziarah Amal Nisa' Sandakan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) dan Majlis Berbuka Puasa bersama pelajar Kolej Kejururawatan HDOK Sandakan. Program ini adalah program mega yang dijalankan oleh Unit Kebajikan dan Kaunseling (UKK) di bawah kendalian Cik Wan Nur Shamimi Wan Mat.

Program ini adalah program yang julung kali diadakan, namun ia tetap mendapat sambutan yang menggalakkan. Seramai 70 orang yang terdiri daripada AJK dan peserta telah mendaftarkan diri dan hadir memeriahkan suasana. Uniknya, program ini turut disiarkan di stesen radio RTM Sandakan FM dan ini turut membantu merancakkan lagi promosi program.

Objektif program ini adalah untuk menziarahi pesakit di wad tertentu iaitu wad bersalin dan kanak-kanak, di samping untuk merasai sendiri penderitaan yang dialani oleh pesakit-pesakit terutamanya pesakit kanak-kanak. Selain itu, peserta juga dapat menginsafi akan nikmat yang diberikan oleh AllaH SWT iaitu nikmat sihat. Peserta juga dapat membantu menyebarkan dakwah Islamiah dalam kalangan pesakit yang ada, di samping memperkenalkan Nisa' Sandakan kepada masyarakat umum.

Porgram ziarah bermula selepas asar dan berakhir pada pukul 5.15 petang. Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan kerana ada dua wad yang berbeza akan dilawati iaitu wad kanak-kanak dan ibu bersalin. Selepas program ziarah, peserta bergerak ke Kolej Kejururawatan yang hanya terletak bersebelahan dengan hospital.

Aktiviti di dewan kolej diteruskan dengan pengenalan kepada Nisa' Sandakan yang disampaikan oleh Pengerusi Nisa' Sandakan iaitu Pn Analisah AB Shah. Walaupun tanpa bantuan PA Sistem, namun penyampaian tetap diteruskan dan mendapat respon yang baik daripada peserta program dan beberapa pelajar kolej yang turut turun mengikuti slot ini. Pihak Nisa' juga turut bersama-sama pelajar kolej dan peserta melakukan solat maghrib, isyak dan tarawih bersama-sama di dewan tersebut. Program berakhir pada pukul 10.00 malam.

Pihak Nisa' Sandakan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada pihak AJK ataupun, peserta dan juga pihak Kolej Kejururawatan yang bertungkus-lumus menjayakan program kali ini. Segala kekurangan dan kelemahan yang ada insya Allah akan cuba diatasi dan dibaiki pada program yang akan datang. Moga segala usaha yang dicurahkan mampu menjadi saham kita semua di akhirat kelak. Akhir kalam, semoga kita berjumpa lagi pada program akan datang. Selamat beramal dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal kunjung tiba.








Sunday, August 7, 2011

Kenapa Tutup Aurat

video

Salam Ramadhan yang dirindui.. Semoga Ramadhan, Bulan Pengampunan ini menjadikan kita antara umat Nabi Muhammad yang tidak dihairani oleh Baginda.. Iaitu menjadi orang yang tidak mendapat pengampunanNya sebaik Ramadhan berlalu.. Sepanjang Ramadhan kali ini, berazamlah wahai seluruh adik-adik Nisa' dengan mendekatkan diri dengan majlis-majlis ilmu. Moga dengan ikatan syaitan dan iblis di bulan mulia ini berjaya mengurangkan cabaran untuk diri kita lebih mengenali siapa Pencipta kita dan apa kesucian agama yang sedang kita dokong ini.

Pada kali ini, kakak ingin berkongsi dengan adik-adik semua tentang Kuliah Ust Zaharuddin Hj Abdul Rahman. Kenapa Tutup Aurat??.. Kesimpulan mudah yang boleh dibuat ialah kerana tinggi dan prestijnya Islam itu sendiri sehingga Islam telah menetapkan kod etika berpakaian yang sekaligus mengangkat orang-orang yang menganuti agama Islam tersebut. Sayang tak sayang agama kita kepada kita sebagai penganutnya. Justru, gunakanlah peluang 'Saluran Maya' di zaman ini, untuk kita melarikan diri dari terjerumus ke Lembah Kejahilan.. Begitu banyak medan-medan ilmu yang mampu kita manfaatkan.

Akhir sekali, selamat menikmati kuliah ini. Moga dapat kita sampaikan kepada yang lain. Terutama kepada keluarga terdekat kita, sahabat handai dan orang di sekeliling kita. Selamat beramal, salam Mahabbah dari kami Krew Nisa' Sabah & Selamat Berpuasa

Thursday, August 4, 2011

Amalan Untuk Muslimah

AMALAN UNTUK MUSLIMAH YANG DIDATANGI HAID DI BULAN RAMADHAN.

Ramadhan telah tiba, bulan yang penuh dengan kelebihan dan ganjaran.Setiap detik di dalam bulan yang penuh keberkatan ini amat berharga dan kemungkinan amalan di bulan inilah yang memberikan perbezaan tempat kembalinya kita. Bagi muslimah yang menyedari hakikat ini, kedatangan ‘tempoh bercuti’ setiap bulan sangat tidak diharapkan pada bulan Ramadhan. Sering terdengar keluhan dari mereka yang haid kerana sedih merasakan tidak mampu merebut pahala ibadah di bulan ini, terutamanya sekiranya ‘ia’ datang ketika tempoh 10 malam terakhir.Malah, ada yang sanggup mengambil ubat penghalang datangnya haid semata-mata untuk memanfaatkan sebulan Ramadhan. Namun,ubatan sebegini kadang kala tidak memberikan kesan yang diharapkan malah lebih mengganggu kestabilan hormon.

Sememangnya perasaan sedih ini hanya akan lahir dari hati seorang muslimah yang sangat mengharapkan keampunan dan ganjaran daripada Tuhannya. Saidatina Aisyah R.A sendiri pernah menitiskan air mata kesedihan kerana merasakan hilangnya peluang beramal dengan kedatangan haid. Namun, haid sebenarnya bukanlah satu perkara yang buruk, bukan jua satu kekurangan yang patut ditangisi, kerana disebaliknya masih ada peluang merebut ganjaran di bulan yang mulia ini.

Mari kita lihat,bagaimana Rasulullah S.A.W menangani perasaan Aisyah apabila beliau menangis kesedihan ketika didatangi haid ketika menunaikan haji.Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud: “Ini adalah suatu yang ditetapkan Allah ke atas anak-anak perempuan Adam, maka tunaikanlah apa yang ditunaikan oleh orang yang melakukan haji kecuali janganlah kamu bertawaf di Baitullah sehinggalah kamu telah mandi (suci dari haid)”. (Riwayat Muslim)

Haid adalah suatu ketentuan yang telah Allah tetapkan ke atas kita(anak-anak perempuan Adam), maka kita sepatutnya redha di atas ketentuan ini. Redha merupakan salah satu daripada ibadah hati. Keredhaan kepada Allah sebagai Tuhan menuntut keredhaan atas apayang diperintahkan-Nya dan apa yang ditetapkan oleh-Nya.

Redha

Redha di atas apa yang Allah perintahkan ke atas kita bermaksud kita menyembah-Nya sebagaimana yang Dia perintahkan untuk kita lakukan, bukan sebagaimana yang kita suka untuk lakukan. Tahukah anda bahawa perbuatan anda berbuka puasa disebabkan haid merupakan suatu ibadah? Ini kerana Allahlah yang memerintahkan kita untuk berpuasa pada hari-hari kita tidak didatangi haid, dan Allah jualah yang memerintahkan kita untuk berbuka ketika sedang haid, maka berpuasa ketika haid merupakan suatu dosa kerana anda dikira melanggar perintah-Nya.

Redha di atas apa yang Allah tetapkan ke atas hambanya pula bermaksud penerimaan atas apa yang Allah telah ciptakan kita dan apa yang Allah fitrahkan ke atas diri kita, termasuklah apa yang Allah tetapkan ketika tempoh haid, dengan hati dan jiwa yang tenang. Perasaan sedih merupakan suatu bentuk penentangan atas ketentuan Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. “(An-Nisa’:32)

Oleh itu, sekiranya anda redha dengan sebenar-benar redha anda telah mengerjakan ibadah hati yang dengannya kita akan merasai kemanisan iman. Ibadah ini mungkin tidak dikerjakan oleh kebanyakan mereka yang sedang suci, malah mungkin tidak dikerjakan oleh kaum lelaki! Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Telah merasai kemanisan iman barangsiapa yang redha dengan Allah sebagai Tuhan, dan dengan Islam sebagai deen, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasul.”(Riwayat Muslim)

Rindu

Rindu seorang muslimah yang sedang haid untuk melakukan solat dan membaca Al-Qur’an juga merupakan suatu ibadah yang tidak didapati di kalangan mereka yang sedang suci. Malah sekiranya terdapat rindu di hati kita untuk melakukan ibadah, kita lebih baik berbanding mereka yang melakukan ibadah, tapi dalam masa yang sama merasakannya sebagai suatu beban dan kesusahan. Lebih istimewa, perasaan gembira seorang muslimah kerana dapat mengerjakan ibadah selepas tamat tempoh haid adalah suatu perasaan yang Allah khususkan untuk kaum wanita sahaja. Maka bersyukurlah!

Bilakah haid menjadi masalah?

Haid menjadi masalah apabila seorang muslimah merasakan telah hilangnya peluang bagi mendapatkan ganjaran di bulan Ramadhan, kerana dia tidak oleh berpuasa dan menunaikan solat tarawih. Sedangkan tanpa dia sedari pintu-pintu syurga masih terbuka untuknya, dan para malaikat masih memanggil-manggil pencari kebaikan. Dan sekiranya dia melakukan suatu kebaikan ganjarannya seperti dia melakukan suatu kefardhuan. Seorang muslimah yang haid sebenarnya masih mempunyai banyak peluang untuk mendapatkan ganjaran dan kelebihan bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan zikir dan selawat ke atas Nabi S.A.W,mendengar bacaan Al-Qur’an, membaca buku-buku yang bermanfaat dan sebagainya.

Tunaikanlah keperluan ukhtimu yang berpuasa!

Seorang muslimah yang bijak, dia akan cuba sedaya upaya memanfaatkan setiap detik ketika bulan Ramadhan walaupun ketika sedang haid. Mungkin kita terhalang daripada berpuasa dan menunaikan solat tarawih, namun kita masih boleh mendapat ganjaran dengan menyediakan makanan untuk orang yang berpuasa, menunaikan keperluan ukhti yang keletihan disebabkan puasa, menjaga anak-anak kecil ketika ibu mereka sedang solat di masjid, bersedekah dan sebagainya.Semoga kita beroleh pahala sebagaimana mereka yang berpuasa dan menunaikan solat.Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Barangsiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya, dan ianya tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikitpun”(Riwayat Tarmizi).

Selain itu, gunakanlah tempoh haid ini untuk menyelesaikan kerja-kerja rumah dan lain-lain urusan dunia anda, supaya kita dapat menyibukkan diri dengan ibadah ketika waktu suci tanpa dirunsingkan dengan rumah yang bersepah atau tugasan yang belum selesai.

Akhir kata, sebelum datangnya tempoh haid anda, perbanyakkanlah amal ibadah, semoga Allah tetap memberikan ganjaran bagi amalan yang kita terhalang dari melakukannya disebabkan haid. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sekiranya seorang hamba muslim sakit atau bermusafir, (tetap) ditulis baginya apa yang dahulunya dia lakukan ketika dia sihat dan bermukim.”(Riwayat Al-Bukhari dan Al-Baihaqi).

Maka, barangsiapa yang terpaksa meninggalkan suatu amal ibadah disebabkan halangan yang syar’ie, Allah Yang Maha Pemurah akan tetap memberikan kita ganjaran sepertimana kita melakukannya.

Salam Nisa'

Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani..

Alhamdulillah, puja segala puji hanya untukNya. Yang memiliki seluruh alam ini. Selawat serta salam buat junjungan besar kita, manusia agung kekasih Allah, para sahabat dan keluarga baginda saw, serta seluruh tentera Allah di muka bumiNya yang Maha Luas ini.


Seiring hembusan bayu yang tiada henti bertasbih memuji keagunganNya, maka Nisa' Sabah muncul menyahut seruan dakwah dalam satu lagi siri metode perjuangan. Mencuba sesuatu.. Mencari ruang.. Mengisi kekosongan.. Andai di situ adanya Islam, pasti gerak tidak terhenti.

Semoga siri pertemuan selepas ini memberi makna mendalam.. Membawa erti hakiki..

-Salam Manis Seuntai Kasih Dari Nisa' Negeri Di Bawah Bayu-