Masa

Thursday, September 15, 2011

Pasca Ramadhan



“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu agar kamu bertaqwa”. (Surah al Baqarah 2:183)

Hari ini genap 17 hari ramadhan pergi meninggalkan kita. berada di bulan syawal merupakan satu kemenangan kepada umat Islam kerana telah berjaya menunaikan rukun islam keempat iaitu berpuasa di bulan ramadhan. Output yang ingin dihasilkan dari tarbiah sebulan ramadhan itu adalah pada frasa terakhir ayat ke 183 surah al baqarah ini iaitu ‘agar kamu bertaqwa’. Jika kita teliti balik, ayat tersebut menggunakan perkataan ‘agar’, dan ia juga membawa maksud yang lain iaitu mudah-mudahan, ia juga adalah seperti satu harapan dan doa untuk umatnya yang berpuasa sama ada dari umat yang terdahulu mahupun umat yang ada pada masa ini.

mendengarkan kuliah di salah sebuah siaran televisyen awal syawal yang lalu, forum tersebut membicarakan tentang pasca ramadhan. apa yang perlu kita lakukan ketika berada di luar bulan tarbiah ramadhan? adakah kita perlu untuk istiqamah dengan segala amal ibadat ketika bulan ramadhan itu atau perlu kembali kepada rutin biasa yang lain? jawapannya mudah, momentum yang ada daripada bulan ramadhan itu seharusnya dibawa ke bulan syawal, dibawa ke bulan zulkaedah, dibawa ke bulan zulhijjah dan bulan-bulan seterusnya sehingga kita berjumpa lagi pada bulan ramadhan tahun berikutnya. Itulah sebabnya kenapa bila berada di bulan tarbiyah iaitu bulan ramadhan, kita perlu MEMPERTINGKATKAN dan MELIPATKALIGANDAKAN lagi amalan kita, bukan baru mahu memulakan semuanya. tidak salah tetapi output yang terhasil mungkin tidak sehebat orang lain yang telah berhempas pulas istiqamah melakukan amal ibadat pada sebelas bulan yang berlalu sebelum bertemu pada bulan ramadhan.

secara peribadinya, tahun ini merupakan ramadhan pertama yang saya sambut bersama keluarga selepas 4 tahun beraya diperantauan sebagai seorang pelajar di institusi pengajian tinggi awam di utara semenanjung. situasinya sangat berbeza. kita melihat di Sabah khususnya Sandakan, gerai menjual makanan dan minuman dibuka seawal pukul 12 tengahari lagi, sedangkan azan zohor pun belum lagi berkumandang! di mana-mana pun kadang kala terlihat orang yang merokok tanpa segan silu kepada orang lain. jika ada yang makan dan minum, pastinya dia adalah seorang kanak-kanak. namun, apa pula pandangan kita jika yang minum di khalayak ramai itu adalah seorang perempuan dewasa yang bertudung? jika dia menggunakan alasan ‘cuti’, ia memang diterima namun kenapa tidak boleh menghormati orang lain yang sedang berpuasa? pengalaman saya ketika berpuasa dan berpaktikal di pejabat agama daerah kuala muda di sungai petani kedah, pegawai pejabat agama kerap kali menerima aduan daripada orang awam mengatakan tentang kedai yang beroperasi dan menjual makanan pada siang hari kepada orang awam yang muslim dan saya sendiri berkesempatan mengikuti beberapa operasi ramadhan yang dilakukan. pihak PBT juga harus menangani situasi ini bersama-sama dengan pejabat agama kerana PBT berkuasa atas semua premis perniagaan yang beroperasi di kawasannya. agak terkilan bila situasi ini hanya dipandang sepi oleh semua pihak, walhal ia adalah perkara yang melibatkan sensitivity agama Islam yang murni ini. Natijahnya kepada masyarakat ialah, tidak ada bezanya ramadhan dan bulan-bulan lain. yang bezanya hanya ada tarawih, jualan murah, baju baru dan langsir baru! sangat menyedihkan.

iklan di siaran televisyen juga tidak menampakkan mereka menghormati bulan mulia ini. yang ditambah hanya sesi tazkirah, pemberitahuan waktu berbuka dan imsak dan pemberitahuan tentang jualan murah. macam mana la kita nak ada momentum beribadat selepas ramadhan bila selalu sangat disajikan dengan perkara-perkara yang sama sahaja sepanjang masa, sama ada berada di bulan ramadhan atau tidak.

walau apapun situasi yang kita hadapi, kuatkanlah semangat dengan momentum yang ada hasil dari latih tubi dan kerja keras sepanjang ramadhan. mudah-mudahan output yang terhasil membolehkan kita menjadi orang yang bertaqwa seperti mana harapan yang diberikan oleh Allah SWT dalam ayatnya dalam surah Al Baqarah itu. Akhir kalam, renung-renungkan dan selamat beramal. 

No comments:

Salam Nisa'

Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani..

Alhamdulillah, puja segala puji hanya untukNya. Yang memiliki seluruh alam ini. Selawat serta salam buat junjungan besar kita, manusia agung kekasih Allah, para sahabat dan keluarga baginda saw, serta seluruh tentera Allah di muka bumiNya yang Maha Luas ini.


Seiring hembusan bayu yang tiada henti bertasbih memuji keagunganNya, maka Nisa' Sabah muncul menyahut seruan dakwah dalam satu lagi siri metode perjuangan. Mencuba sesuatu.. Mencari ruang.. Mengisi kekosongan.. Andai di situ adanya Islam, pasti gerak tidak terhenti.

Semoga siri pertemuan selepas ini memberi makna mendalam.. Membawa erti hakiki..

-Salam Manis Seuntai Kasih Dari Nisa' Negeri Di Bawah Bayu-